RSS

PPKI SK Telok Gadong: Sejarah Ringkas



Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP), Sekolah Kebangsaan Telok Gadong (SKTG) telah ditubuhkan pada 1 Jun 1990. Guru pertama yang mempelopori kelas ini adalah En. Mohd. Noor bin Hj. Mohd. Som. Bilangan murid pada masa itu hanya 12 orang sahaja.

Sehingga tahun 1996, KKBP telah mengalami pelbagai perubahan, antaranya ialah pengubahsuaian kelas, pembinaan Bilik Resos dan Bilik Rekreasi serta Taman Mini Pertanian. Di samping itu, bangunan Mini Gimnasium dan tandas untuk untuk murid kelas khas serta pentas untuk perhimpunan atau aktiviti lain juga berjaya dibina. Perubahan ini adalah hasil sumbangan dari pelbagai pihak seperti Klang Container Terminal (KCT), Balkis, Dipsol Chemicals, Teknikast Sdn. Bhd., Kementerian Pendidikan Malaysia, Acmar Holdings dan orang perseorangan.

KKBP telah dikenali sebagai Program Integrasi Pendidikan Khas (PIPK) bermula tahun 2002. Di samping itu, PIPK turut menerima perubahan dari segi fizikal iaitu penaiktarafan bilik Urus Diri serta pembinaan pentas baru. Kos perubahan ini diperolehi melalui projek mengumpul dana melalui program Majlis Malam Istimewa pada tahun 2002. Selain itu, pihak Jabatan Pendidikan Selangor turut memberi peruntukan untuk menaik taraf tandas murid, bilik guru dan bilik komputer.

Pada tahun 2004, taman permainan PIPK telah dibina. PIPK dikenali dengan nama PPKI pada tahun 2008. Pra-sekolah PPKI juga telah diwujudkan pada tahun yang sama. PPKI telah menaik taraf stesen-stesen P&P dengan memasang jubin lantai bag isetiap stesen. Pada tahun 2010, PPKI telah membesarkan kantinnya yang baru.


Kini, PPKI SKTG mempunyai 18 bilik darjah dan sehingga hujung bulan Ogos 2011, muri-murid PPKI berjumlah 131 orang, manakala 8 orang murid dari Pra-PPKI. Untuk tahun ini, PPKI bersama Biro Kebajikan sedang mengutip derma untuk membuat susur laluan berbumbung dan membaik pulih kantin.

Pengenalan kepada Pendidikan Khas


PENDIDIKAN KHAS
Pendidikan Khas ialah program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid khas, termasuk penggunaan bahan khas, peralatan khas, teknik p & p mengikut tahap kebolehan & keupayaan pelajar:-
  • Perkembangan mental
  • Kestabilan emosi
  • Integrasi sosial
KANAK-KANAK KHAS
Merupakan kanak-kanak yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami masalah yang mengganggu proses pembelajaran.
“……… Kanak-kanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa (1) dalam ciri-ciri mental (2) keupayaan-keupayaan deria (3) dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal (4) dalam tingkahlaku sosial atau emosi (5) dalam keupayaan komunikasi atau (6) dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai, atau perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas , supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum ”.
Kirk, S.A. et.al. “Educating Exceptional Children”, 1993
Apa Dia kanak-kanak Khas ?
………… “Kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi tidak mencapai pertumbuhan-pertumbuhan biasa hingga mereka tidak dapat faedah sepenuhnya dari rancangan sekolah biasa “.
Chua Tee Tee, 1981
Apa Dia Pendidikan Khas ?
……… Pengajaran yang bercorak individu direka untuk memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan Khas yang menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum yang baku atabiasa atau perkhidmatan-perkhidmatan sekolah biasa “.
PROGRAM PENDIDIKAN KHAS
Program pendidikan khas di Malaysia dilaksanakan melalui:-
  • Sekolah Khas
  • Progam pendidikan Khas Integrasi (pengasingan/inklusif)
  • Pemulihan Khas
  • Program Disleksia
  • Pendidikan Vokasional sekolah khas/integrasi(teknik/Vokasional)
KATEGORI PENDIDIKAN KHAS
Kanak-kanak yang berada dalam program Pendidikan khas adalah mereka yang menghadapi masalah untuk belajar di dalam aliran biasa. Terdapat tiga aliran :
  • Masalah Pembelajaran
  • Masalah Pendengaran
  • Masalah Penglihatan
Falsafah Pendidikan Khas
Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


(sumber: http://ppdlms.edu.my/pk/)

Lawatan PPKI SK Telok Gadong ke kilang coklat Beryl's

Salam, semua!

Pada 27 September 2011 (Selasa) yang lalu, guru-guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Telok Gadong telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke kilang coklat Beryl's yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor. Lawatan tersebut telah dihadiri oleh seramai 30 orang guru dan 50 orang murid PPKI selain 7 orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Objektif lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang cara pengendalian operasi sesebuah kilang, terutamanya sebuah kilang coklat seperti yang telah dilawati pada kali ini.

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta yang terdiri dari kalangan guru, pembantu murid dan murid-murid telah berkumpul di perkarangan sekolah untuk menaiki bas ke sana. Ketua rombongan pada kali ini ialah Puan Nor Arizam binti Mat yang telah bertungkus-lumus memastikan perjalanan program berjalan lancar, terutama sekali dalam memastikan tiada murid yang menghadapi masalah seperti tertinggal bas, hilang semasa melawat ke tempat-tempat tertentu dan sebagainya. Perkara-perkara ini perlu diberikan perhatian oleh semua guru kerana murid-murid PPKI mempunyai keperluan yang lebih tinggi berbanding murid-murid biasa.


Kira-kira jam 9.30 pagi, bas yang kami gunakan tiba di lokasi kilang coklat Beryl's. Murid-murid semua berasa seronok dan teruja kerana berasa tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tempat pembuatan coklat yang terdapat dalam pelbagai bentuk, rasa, warna dan corak. Mereka semua mahu melihat sendiri bagaimana caranya coklat yang lazat-lazat itu dihasilkan, melibatkan proses sejak dari awal hingga ke akhir sehingga sampai ke tangan pengguna.



Murid-murid juga tidak melepaskan peluang melihat ke setiap sudut dalam kilang tersebut selain bertanya kepada guru-guru tentang pelbagai perkara yang terdapat di sana. Sikap ingin tahu murid-murid ini dilihat sangat positif kerana bermula dari rasa ingin tahulah keinginan untuk belajar mula timbul dalam diri mereka. Guru-guru dan pembantu murid menjawab setiap pertanyaan mereka dengan senang hati dan gembira demi memastikan pengetahuan mereka bertambah dengan kedatangan mereka ke kilang coklat ini.

Para guru dan murid juga mengambil kesempatan bergambar di sana sebagai kenang-kenangan pernah melawat tempat tersebut. Selain itu, mereka juga membeli beberapa jenis coklat untuk dibawa pulang sebagai buah tangan kepada sanak-saudara yang ada di rumah. Pihak kilang telah bermurah hati menjual semua jenis coklat dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga pasaran di luar kepada para peserta lawatan sebagai tanda penghargaan atas kesudian mengadakan lawatan ke kilang mereka. Setelah puas melawat ke kawasan kilang dan sekitarnya, kami bergerak pulang semula ke sekolah kira-kira jam 12.40 tengah hari. Walaupun penat, kami berharap para murid PPKI SK Telok Gadong dapat mengambil seberapa banyak manfaat dari program ini demi perkembangan minda dan peribadi mereka.




Salam Perkenalan

Salam kepada semua!

Ini merupakan kali pertama saya berblog. Secara umumnya, blog ini akan berada dalam lingkungan dunia pendidikan. Selain daripada memenuhi tuntutan pengajian saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, saya berharap blog ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca khususnya kepada para guru. Dari semasa ke semasa, saya akan mengemaskini blog ini dengan masukan-masukan yang berguna. Sebarang komen adalah dialu-alukan. Sehingga berjumpa lagi dalam masukan seterusnya!